Belasungkawa: Razali terkenal dengan sikap mesra, prihatin

dipetik dari: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Nasional/20081128231930/Article/

PEMERGIAN tokoh pendidik yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail, 59, [1949-2008] ke Rahmatullah di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands, Pahang secara mengejut kira-kira jam 6.30 petang semalam adalah kehilangan yang cukup besar bagi warga pendidikan serta warga Kuala Terengganu khasnya yang sudah sebati dengan sikap mesra dan prihatin yang cukup sinonim dengannya.

Dilahirkan di Kuala Berang pada 25 Jun 1949, beliau yang lebih mesra dengan panggilan Cikgu Razali adalah seorang yang cukup prihatin dalam memastikan pendidikan menjadi tunjang dan keutamaan, baik ketika berkhidmat sebagai pendidik sehingga beliau terbabit secara langsung dalam politik pada 2004.

Memulakan pendidikan peringkat rendah di Hulu Terengganu beliau kemudian menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Tengku Ampuan Intan, Kuala Berang dan Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu.

Razali seterusnya melanjutkan pengajian di Universiti Malaya dalam bidang Sejarah dan memperoleh ijazah Sarjana Muda Sastera dengan Kepujian pada 1973 dan pengajian Sarjana Pendidikan di University of Birmingham, United Kingdom pada tahun 1986 hingga 1987.

Selepas beberapa tahun menjadi pendidik, beliau kemudian menjadi pensyarah di beberapa maktab perguruan dan pernah dilantik sebagai Timbalan Pengetua Maktab Perguruan Kota Bharu dan seterusnya Pengetua Maktab Perguruan Pasir Panjang, Kuala Terengganu dan Pengetua Maktab Perguruan Batu Rakit, Kuala Terengganu.

Kesungguhan ditunjukkannya dalam memartabatkan bidang pendidikan khususnya di Terengganu seterusnya membolehkan beliau dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Jabatan Pelajaran Terengganu pada 2001.

Kecemerlangan ditonjolkan beliau dalam mengemudi bidang pendidikan negeri cukup terserlah hingga Terengganu mampu muncul negeri yang mencatatkan keputusan paling cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan kekal sehingga hari ini.

Jawatan terakhir disandang beliau dalam kerajaan adalah sebagai Pengarah Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran pada 2003 sebelum dicalonkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Kuala Terengganu pada Pilihan Raya Umum 2004 dan memenanginya dengan menewaskan calon Pas, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dengan majoriti 1,933 undi.

Beliau sekali lagi mengekalkan kemenangan di Parlimen Kuala Terengganu apabila dicalonkan dan mengalahkan calon Pas, Mohamad Sabu dengan majoriti 628 undi.

Pengalaman luas beliau sebagai warga pendidik dan sebagai pentadbir sektor pendidikan dengan memegang pelbagai jawatan memudahkan lagi tugasannya selepas dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelajaran tahun ini.

Beliau yang pernah memegang jawatan Pengerusi, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebelum menjawat jawatan Timbalan Menteri Pelajaran turut membawa banyak perubahan dalam mempastikan peminjam PTPTN membayar balik pinjaman bagi mempastikan kelangsungan dana untuk membantu pelajar lain supaya turut mendapat manfaat melalui tabung itu.

Selain cintanya dalam bidang pendidikan, beliau juga turut aktif dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan serta turut memegang jawatan dalam beberapa pertubuhan sukarela.

Beliau turut dianugerahkan beberapa darjah kebesaran dengan Darjah Paduka Mahkota (DPMT) pada 2004 yang membawa gelaran Datuk daripada Sultan Terengganu.

Razali meninggalkan seorang balu, To’ Puan Nooraini Lob Yusoff dan lima anak yang semuanya lelaki iaitu Muhammad Nurazli, 30 yang juga Pengurus di Sime Darby Bhd; Asrul Shah, 27, bertugas sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik; Khairul Amar, 23 , masih menuntut di Amerika Syarikat; Khairul Anwar, 21, menuntut di Universiti Industri Selangor dan yang bongsu, Khairul Arif, 15, pelajar di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang, Selangor.

~ by akarimomar on November 29, 2008.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: