Razali Ismail ‘Bapa Pendidikan’ Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU, 13 Jan (Bernama) — “Bapa Pendidikan”. Itulah gelaran yang diberikan kepada bekas Timbalan Menteri Pelajaran Allahyarham Datuk Razali Ismail oleh golongan pendidik Sekolah Kebangsaan Paya Bunga di sini terhadap sumbangan besarnya dalam bidang pendidikan di kawasan Parlimen Kuala Terengganu.

Dilahirkan pada 25 Jun 1949, Razali yang memulakan kerjaya sebagai guru dan kemudiannya menjadi pensyarah di beberapa buah maktab perguruan di Malaysia, menjadikan Sekolah Kebangsaan Paya Bunga sebagai sekolah angkatnya pada 15 Jun lepas ketika menjadi Timbalan Menteri Pelajaran.

Kini kesinambungan sumbangan Allahyarham Razali akan diteruskan oleh Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek, yang menawarkan diri menjadi bapa angkat sekolah berkenaan.

“Insya-Allah saya akan bertemu dengan pihak sekolah dan PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) mengenai apa yang telah dilakukan oleh Allahyarham dalam membantu sekolah ini. Mana-mana yang terputus itu saya akan teruskan,” katanya kepada pemberita pada majlis memperkasa “sekolah angkat” Datuk Razali Ismail itu di sini, Selasa.

Ahmad Shabery berkata beliau dalam kapasitinya sebagai Menteri Penerangan akan membantu sekolah itu seperti dalam bidang sukan, PIBG dan infrastuktur sekolah.

Sekolah yang dahulunya dinamakan Sekolah Kampung Keling, mempunyai 83 murid Tahun Satu hingga Tahun Enam dan merupakan sekolah tertua di Terengganu yang ditubuhkan sejak 1912.

Sejak sekian lama berpindah randah dari satu tempat hingga ke satu tempat, pada 1922, akhirnya sekolah ini bertapak di Kampung Paya Bunga dan ditukar namanya menjadi Sekolah Melayu Paya Bunga (sekarang Sekolah Kebangsaan Paya Bunga).

Razali, orang pertama yang menjadikan sekolah itu sebagai sekolah angkatnya berikutan kebimbangan beliau apabila kemasukan pelajar ke sekolah itu semakin merosot. Rekod yang dicatatkan pada 2006 ialah sekitar 100 pelajar yang menurun kepada 83 orang tahun ini.

Guru Besar sekolah, Nor Azizah Omar berkata pemergian Allahyarham Razali ke Rahmatullah satu kehilangan besar buat semua warga pendidik dan murid di sekolah itu.

“Apa yang saya teringat sampai sekarang ialah bagaimana beliau memberikan motivasi bukan sahaja kepada guru dan murid, malah ibu bapa. Sekarang dah ramai ibu bapa sedar betapa pentingnya pendidikan bagi mengubah nasib mereka,” katanya kepada Bernama.

Allahyarham Razali meninggal dunia pada 28 Nov lepas di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands, Pahang.

— BERNAMA

~ by akarimomar on January 15, 2009.

Leave a comment